Siri 4 : Kita Diambang Perang Dunia Ketiga? – Asia Barat Menjadi Medan Pertempuran Baru

Semalam, ruangan ini membicarakan bagaimana Rusia kembali menemui “nyawanya” semula setelah teruk dihancurkan oleh Amerika Syarikat semasa era Perang Dingin. Ruangan semalam juga membicarakan bagaimana Rusia berhadapan dengan tekanan berterusan EU dan Amerika yang enggan lagi melihat Rusia dapat bangkit semula setelah kehancuran Kesatuan Soviet, lewat 1980an.

Sejarah mencatatkan, selepas kejatuhan Kesatuan Union pada 1989, satu persatu negara-negara yang bernaung di bawahnya, mula bergolak dan gugur berkecai termasuklah di Asia Barat. Yaman Selatan yang dahulunya diperintah oleh kerajaan Komunis proksi Soviet berakhir selepas penyatuannya dengan Yaman Utara sehingga terbentuknya Republik Yaman pada tahun 1994.

download-19

Walaupun begitu, Rusia yang pada ketika itu berada pada tahap paling lemah, mengambil sikap untuk berbaik dan terus membina hubungan dengan mana-mana negara yang berseteru dengan AS. Dalam konteks ini Rusia sentiasa menjaga hubungannya dengan Iran dan negara-negara yang mempunyai hubungan yang baik dengan Iran khususnya Syria.

Selepas berlakunya Arab Spring pada awal 2011 yang menumbangkan pemerintah-pemerintah diktator di Tunisia, Mesir dan Libya, Rusia pada peringkat awalnya, tidak menunjukkan minat yang mendalam untuk masuk campur kerana masih lagi sukar untuk melupai luka yang pernah dialami di Afghanistan.

Akan tetapi, polisi ini berubah selepas menyedari perkembangan yang berlaku di Asia Barat mungkin akan menjejaskan kepentingannya untuk jangka masa panjang khususnya bagi merebut Asia Barat yang mempunyai kedudukan strategik dan kaya dengan hasil bumi khususnya petroleum.

Selepas Presiden Mohammad Mursi digulingkan oleh Jeneral Abdel Fatah El-Sisi, Rusia dengan cepat menyokong El-Sisi yang seolah-olah diketepikan oleh AS. Walhal, pada ketika itu, perlantikan El-Sisi sebagai Presiden baru Mesir selepas kejadian berdarah di Tahrir Square, tidak mendapat sokongan penuh oleh kebanyakan rakyat Mesir dan dunia Islam amnya.

Menariknya, tidak berapa lama selepas El-Sisi mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir, Presiden Rusia, Vladimir Putin menerima kunjungan beliau di Moscow dan mengeratkan lagi hubungan antara Mesir dan Rusia khususnya dari sudut ketenteraan. Perkembangan ini pantas menimbulkan kemarahan Amerika dan sekutunya Israel yang menyifatkan pertemuan ini sebagai “bermain dengan api”.

download-20

Satu lagi keadaan yang meperlihatkan ketegangan antara Rusia dan Amerika adalah insiden pesawat tentera udara Rusia ditembak jatuh berhampiran sempadan Turki-Syria. Situasi ini pernah menimbulkan ketegangan di rantau Teluk kerana Ankara menuduh tentera Rusia mencabuli kedaulatan Turki manakala Rusia pula menuduh, Ankara menembak jatuh pesawatnya di ruang udara Syria.

Kejadian ini telah menimbulkan ketegangan dan krisis diplomatik antara Ankara dan Moscow. Hal ini mudah untuk difahami kerana Turki merupakan rakan sekutu Amerika di persempadanan Eropah-Asia Barat dan menjadi ahli kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Namun begitu, Rusia bijak mengambil peluang apabila melihat Amerika dan EU mengkhianati Turki dalam isu kumpulan militan Kurdis PKK dan ketegangan yang tercetus apabila sebuah jet pejuang Rusia ditembak oleh Turki. Siapa sangka, pada satu ketika Rusia dan Turki dilihat begitu hampir untuk berperang, secara tiba-tiba Putin dapat mengendurkan kemarahan Reccep Tayyib Erdogan dan seterusnya mengeratkan hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.

Memandangkan sikap dan tindakan kerajaan Turki pada masa krisis itu dan kemudian perkembangan terkini selepas cubaan rampasan kuasa, kebarangkalian sangat kuat pihak yang memberikan arahan untuk menembak jatuh jet pejuang Rusia adalah pengikut-pengikut Fethullah Gulen yang memegang posisi penting dalam tentera dan bukannya Erdogan.

Umum sedia maklum bahawa Fethullah Gulen merupakan seorang pelarian politik yang mendapat perlindungan oleh kerajaan Amerika. Erdogan secara kosisten menuduh Fethullah adalah individu yang bertanggungjawab merancang dan melancarkan cubaan rampasan kuasa di Turki.

images-13

Menurut beberapa pemerhati, beberpa insiden ini (samada disengajakan atau sebaliknya) adalah perancangan Amerika untuk mengheret Turki ke lembah peperangan dengan Rusia di Syria. Akan tetapi ketentuan Allah menjangkau perancangan manusia apabila gagalnya cubaan rampasan kuasa oleh pihak tentera yang dipimpin oleh Jeneral Akin Ozturk, Ketua Turus Tentera Udara Turki.

Kegagalan cubaan rampasan kuasa ini memberi bonus kepada Rusia untuk merapatkan hubungan dengan Turki yang jelas dikhianati oleh Amerika. Beberapa hari selepas insiden kegagalan cubaan rampasan kuasa ini, Presiden Erdogan mengadakan lawatan ke Rusia dan ini menyebabkan Amerika terpaksa berputih mata. Namun begitu, pemerhati antarabangsa masih keliru dengan pendirian Turki samada masih menyebelahi Amerika atau kini lebih pro Rusia.

Dalam isu Syria dan Yaman, peringkat awalnya Rusia mengambil langkah berhati-hati sehinggalah pada pertengahan 2015 Rusia dengan jelas mengisytiharkan penglibatannya secara langsung khususnya dalam krisis di Syria. Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, ketegangan makin memuncak apabila usaha-usaha damai menemui jalan buntu dengan kedua-dua pihak menuding jari antara satu sama lain.

Pihak yang paling untung dalam krisis yang berlaku ini ialah negara haram Israel. Ketika seluruh dunia tertumpu kepada isu Syria, Iraq, dan Yaman, negara haram ini boleh melaksanakan agenda menyahudikan (Judaization) Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa dengan selesa.

Akan tetapi hakikat sebenarnya; Israel sentiasa memerhati perkembangan yang berlaku dan tidak akan teragak-agak untuk terlibat secara langsung dalam krisis ini. Ini terbukti apabila Israel memberikan bantuan logistik dan senjata kepada beberapa kumpulan Syria dan mendorong mereka untuk melanggar beberapa gencatan senjata yang berlaku baru-baru ini.

images-14

Dengan perkembangan yang begitu pantas berlaku ini, ramai menjangkakan dalam tempoh beberapa bulan dari sekarang akan berlaku pertembungan secara langsung antara AS dan Rusia. Kebuntuan kedua-dua kuasa ini untuk berbincang bagi menyelesaikan isu Syria akan membawa kepada pertembungan secara langsung.

Dalam beberapa hari ini Rusia menambah kekuatan ketenteraannya di Syria khususnya peluru berpandu antipesawat S300 dan S400. Kementerian Pertahanan Rusia dalam kenyataannya menyebut bahawa Rusia tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan pesawat AS jika sekiranya ia mengambil sikap menyerang tentera Syria.

Bagi pihak Amerika pula, Amerika pula berada di persimpangan jalan dalam menghadapi kebangkitan Rusia ini. Pertembungan dalam pentadbiran Aamerika kian makin meruncing antara pihak yang mahukan pendekatan keras dan satu pihak lagi yang mahukan pendekatan lembut dan diplomasi.

Dalam hal ini, pentadbiran Barack Hussien Obama dilihat lemah dan lembut sehingga gagal untuk menangani kebangkitan Rusia apabila satu-persatu perang diplomasi antara kedua-dua kuasa ini dimenangi oleh Rusia. Apa yang pasti pertembungan antara dua kuasa besar ini bukan lagi pertembungan Perang Dingin. Sebaliknya ia merupakan perang sebenar yang sangat berpotensi membawa kepada perang serantau mahupun Perang Dunia Ketiga.

Bersambung…

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


*

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE