Rumah Warisan Menjadi Ikon Di Tengah Bandar Kuala Lumpur

Share This:

Kuala Lumpur – Kampung Abdullah Hukum masih lagi berdiri megah di KL Eco City di sini. Ianya berusia 100 tahun dan adalah pengasas rumah warisan.

Pada mulanya, rumah tradisional Melayu bertangga batu, beranjung dan tidak berbilik itu sebelum ini berdepan risiko dirobohkan berikutan pembangunan semula kampung itu sebagai sebuah pusat komersial dan perumahan KL Eco City.

Terkini, rumah tersebut siap dipasang semula di Tingkat 7, bangunan parkir KL Eco City yang turut menempatkan Masjid Jamek Abdullah Hukum. Rumah warisan ini milik Allahyarham Abdullah Hukum atau nama sebenarnya Muhammad Rukun.

Pada tahun 1880-an, Abdullah Hukum adalah antara perintis yang terlibat dalam pembangunan Kuala Lumpur dan beliau turut membuka kawasan Pudu-Bukit Bintang serta Sungai Putih yang kini dikenali sebagai Bangsar.

Sultan Selangor ke-4, Sultan Abdul Samade telah melantik beliau menjadi ketua masyarakat Kuala Lumpur dan diberi gelaran Tuk Dagang Dianjuk.

Pihak pemaju SP Setia Bhd dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah mempersetujui projek penempatan semula kediaman Abdullah Hukum di KL Eco City bagi memastikan rumah pusaka itu dikekalkan dan dijadikan ikon kawasan tersebut.

Shaari Mat Saod, kontraktor konservasi yang dipertanggungjawabkan untuk memulihara rumah pusaka itu berkata proses memindahkan rumah itu bermula pada Sept 2012 sebelum projek pembangunan KL Eco City.

“Proses pemuliharaan dan pemindahan rumah itu melibatkan tiga fasa utama bermula dengan prosedur dokumentasi serta penandaan pada setiap kepingan kayu dan bahan binaan yang terdapat pada premis itu sebelum ditanggalkan dalam tempoh selama tiga bulan,” katanya kepada Bernama semalam.

Shaari menyatakan bahawa kayu meranti merah yang digunakan dalam pembinaan rumah itu turut dibawa ke sebuah pusat konservasi di Melaka bagi merawat kerosakan pada kayu tersebut supaya memastikan kayu-kayu itu cukup kukuh untuk dipasang semula.

“Selepas selesai proses rawatan pada penghujung 2012, semua kayu dan bahan binaan rumah disimpan di stor SP Setia Bhd di Rawang selama tiga tahun dua bulan dengan pemantauan rapi sementara menunggu pembinaan (bangunan parkir tujuh tingkat itu) siap sepenuhnya. Selepas bangunan parkir bertingkat siap pada Mac tahun ini, kerja-kerja pemasangan semula rumah pusaka Abdullah Hukum di tingkat atas bangunan itu dimulakan mengikut struktur asal.” kata Shaari.

Tambahnya lagi, dengan dibantu 10 pekerja, mereka mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menyempurnakan pemasangan semula rumah yang sarat dengan ciri-ciri tradisional Melayu itu.

“Bagaimanapun, pengubahsuaian terpaksa dilakukan pada bahagian ‘tiang tunku’ rumah yang sudah tidak kukuh serta pemasangan atap baharu menggantikan zink sedia ada kerana tidak lagi sesuai digunakan,” katanya

Abdullah Hukum dilahirkan dan membesar di Sumatera. Beliau berketurunan Kerinchi, beliau berhijrah ke Tanah Melayu bersama bapanya pada tahun 1850 ketika berusia 15 tahun dan menetap di Kuala Lumpur dan Selangor hingga akhir hayatnya.

Pada 1943, beliau meninggal dunia pada usia 108 tahun dan mempunyai 18 orang anak. Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Abdullah Hukum di Bangsar turut tertera nama Allahyarham.

-pru14.tv-

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*