Mungkinkah Mahathir Dan Anwar Akan Bergabung?

Share This:

BUKAN lagi rahsia bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan hasrat dan impian mereka terlaksana “the end justice the means”.

Dan bukan juga rahsia bahawa hubungan Mahathir dan Anwar Ibrahim ini mempunyai sejarah yang terlalu buruk dan mengaibkan. Persoalannya kini, mungkinkah Mahathir dan Anwar akan bergabung? Adakah Mahathir sanggup “menjilat ludah” beliau semula? Dan adakah Anwar juga redha “menjilat ludah” beliau selama ini?

Pada bulan Mac 2016, Bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan mendakwa bahawa Anwar berhasrat untuk memulihkan hubungan antara keluarganya dan Mahathir. Anwar, yang muncul membela dirinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dilaporkan memberitahu Channel News Asia bahawa beliau tidak menyimpan sebarang dendam peribadi terhadap Mahathir.

Namun begitu pada bulan April 2016, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melahirkan kekesalan apabila Mahathir tidak menyokong Anwar sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia. Pada temu bual dengan akhbar The Australian , Mahathir berkata Anwar sudah terlalu tua untuk menjadi perdana menteri yang seterusnya. Beliau juga berpegang teguh dengan keputusannya untuk memecat bekas timbalannya pada tahun 1998 dengan mendakwa Anwar sebagai “tidak bermoral.”

Kita amat maklum bahawa Mahathir seorang yang angkuh dan sombong serta tidak akan begitu mudah memaafkan dan memohon maaf pada pihak yang lain.

Masihkah anda ingat, dalam Perhimpunan Agung UMNO 1997 tersebar surat layang setebal 30 halaman berkenaan Anwar Ibrahim. Beliau dikatakan mempunyai skandal dengan isteri orang dan homoseks. Pada tahun 1997 golongan anti Anwar menganggap golongan yang cenderung kepada Anwar yang dikenali sebagai Anwarisme sudah menguasai setiap sendi UMNO dan bila-bila masa boleh menjatuhkan Dr Mahathir Mohamad.

Penyingkiran Anwar dari UMNO dan Kerajaan Persekutuan berkait rapat dengan krisis kewangan yang dialami oleh Malaysia dan negara-negara rantau Asia yang lain pada 1997. Anwar yang juga Menteri Kewangan dilihat telah gagal mengangani krisis tersebut. Dengan mengamalkan pelan-pelan tindakan yang digariskan oleh Bank Dunia dan IMF, negara telah terjerumus kedalam krisis kewangan yang lebih teruk.

Oleh itu, Dr. Mahathir Mohamed telah membawa masuk bekas menteri kewangan sebelum ini, iaitu Tun Daim Zainuddin ke dalam barisan kabinet. Anwar melihat hal tersebut sebagai kehilangan kepercayaan dari Dr. Mahathir, lalu berusaha untuk terus relevan dalam UMNO. Usaha tersebut, termasuk menjatuhkan Dr. Mahathir dari kerusi Presiden UMNO. Gerakan telah dimulakan oleh Ketua Pemuda UMNO pada ketika itu, iaitu Ahmad Zahid Hamidi, yang dengan lantang membidas Dr. Mahathir yang dikatakan mengamalkan Nepotisma dan Kronisma.

Pada masa yang sama, buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM” oleh Khalid Jafri telah tersebar. Buku tersebut menyebut tentang aktiviti homoseksual Anwar.

Pada 1998, Anwar Ibrahim telah dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan kemudian dari Timbalan Presiden UMNO serta keahlian dalam UMNO. Dr. Mahathir yang juga merupakan “mentor” kepada Anwar telah mengambil tindakan yang drastik tersebut setelah beliau mempunyai bukti kukuh untuk mempercayai bahawa Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual. Anwar dipecat atas dakwaan rasuah dan liwat, dan beberapa bulan selepas itu, ditahan atas tuduhan perbuatan homoseksual.

Manakala Anwar Ibrahim pula menuduh Mahathir sebagai penasihat Petronas, telah terlibat dalam pemberian kontrak Petronas kepada anak-anak beliau. Rentetan dari tuduhan Anwar tersebut, Mahathir mendakwa semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, banyak kontrak diberi oleh beliau kepada penyokong politiknya dan keluarganya.

Menurut Mahathir lagi, Anwar telah menubuhkan partinya dan melantik isterinya sendiri sebagai Presiden. Tidak ada bukti adanya pertandingan untuk jawatan penasihat parti yang disandang oleh beliau. Anwar juga turut memilih anaknya untuk menjadi calon dalam pilihan raya.

“Sekarang isterinya jadi presiden parti dan anaknya jadi naib presiden parti. Kawannya juga jadi timbalan. Parti Keadilan adalah milik Anwar Ibrahim,” kata Mahathir.

Kita tahu bahawa Mahathir mahu anaknya Dato’ Seri Paduka Mukhriz bin Mahathir menjadi Perdana Menteri namun Anwar Ibrahim juga telah lama mengidamkan jawatan tersebut. Dalam usaha mereka untuk merealisasikan kerakusan impian tersebut, langkah pertama adalah menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Langkah seterusnya sudah pasti pertarungan sengit antara dua manusia yang kemaruk kuasa sehingga menyebabkan rakyat, agama, bangsa dan negara sebagai mangsa.

Mahathir dan Anwar terlalu rakus dalam mengapai impian mereka. Memang tidak mustahil kedua-dua mereka akan bergabung. Namun yang lebih penting kini, apakah nasib orang Melayu seterusnya selepas pengabungan tersebut?

  • PRU14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*