Analisis Keseluruhan Prestasi Atlet Negara Di Sukan Olimpik Rio 2016

Share This:

Bem-vindo Veja Rio, reuniu-se em Tóquio (Selamat tinggal Rio, jumpa di Tokyo), itulah ungkapan yang paling sesuai untuk semua kontijen yang menyertai sukan olimpik di Rio pada kali ini. Disebalik segala kebimbangan mengenai penganjuran sukan olimpik kali ini, Bandaraya Rio akhirnya berjaya melaksanakan tugas mereka dengan baik sesuai dengan moto olimpik, “sukan menyatu padukan penduduk dunia”.

Ketika hampir keseluruhan atlet negara sudah tiba di tanahair, pastinya prestasi semua jenis sukan yang mengambil bahagian dalam temasya ini akan dianalisis untuk dijadikan pedoman pada penyertaan yang akan datang. Pada temasya kali ini, Malaysia mengambil bahagian dalam acara olahraga, perahu layar, memanah, badminton, terjun, golf, renang, lumba basikal, angkat berat dan menembak.

images (6)

Dalam sejarah penyertaan negara di sukan olimpik, boleh dikatakan, inilah penyertaan paling berjaya dalam sejarah. Dengan membawa pulang 4 pingat perak dan 1 gangsa, pencapaian ini dianggap suatu kejayaan luar jangka bagi Malaysia walaupun Malaysia terpaksa menunggu lebih lama untuk meraih pingat emas olimpik di sebalik Singapura, Thailand dan Vietnam sudah mampu berbangga dengan pingat emas masing-masing.

Berikut merupakan analisis ringkas pencapaian semua atlet negara dalam penyertaan mereka di Sukan Olimpik Rio, 2016.

download (17)

1. Menembak

Untuk sukan menembak, penyertaan Jonathan Wong menerusi acara 10 meter pistol, boleh dikatakan sebagai hanya meraih pengalaman pertamanya di olimpik. Layak menerusi merit, nyata saingan daripada atlet menembak dunia, bukan satu saingan mudah buat Jonathan. Beliau dilihat tenggelam dalam aksi hebat penembak lain dan ini adalah pengalaman berguna buat atlet muda ini.

images (7)

2. Golf

Bagi golf pula, Malaysia menampilkan pemain terbaik negara, Danny Chia dan Gavin Kyle Green bagi acara lelaki dan Michelle Koh dan Kelly Tan bagi acara wanita. Boleh dikatakan, prestasi mereka jauh daripada apa yang diharapkan apabila sejak dari pusingan pertama, keempat-empat atlet ini sudah jauh ketinggalan walaupun tiada nama-nama besar yang mengambil bahagian dalam acara ini.

Danny selaku pemain terbaik negara juga gagal menampilkan aksi yang lebih kemas dimana Gavin juga masih tercari-cari rentak terbaik untuk bersaing dengan 60 orang lagi peserta. Bagi Michelle dan Kelly Tan, bogey dan double bogey jelas menjejaskan rentak mereka dengan ditambah lagi cuaca buruk sepanjang hari persaingan. Jelas, pemain golf negara hanya melengkapkan aksi di lapangan golf di Rio.

images (8)

3. Perahu Layar

Disebalik penguasaan Khairulnizam Mohd Affendy dalam acara laser di pentas Asia Tenggara, saingan dalam sukan olimpik nyata bukan medan untuknya. Menamatkan saingan ditangga 36 jelas menunjukkan, banyak lagi yang perlu dipelajari oleh beliau. Begitu juga dengan penyertaan seorang lagi atlet perahu layar negara, Nur Shazrin Latif menerusi acara laser radial.

download (18)

4. Memanah

Prestasi yang ditunjukkan oleh atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhd Akmal Nor Hasrin agak mengecewakan. Walaupun berguru dengan antara jurulatih terbaik dunia dari Korea Selatan, nyata mereka masih gagal untuk mengatasi masalah mental yang sering kali mengganggu fokus atlet negara.

Khairul Anuar, selaku pemain negara yang pernah mara ke Suku Akhir di Olimpik London, nyata gagal membawa pasukan negara melepasi peringkat pertama. Lebih mendukacitakan, Khairul juga gagal mengulangi pencapaiannya di London apabila tewas diawal pusingan kedua. Ini menjadikan hasrat dan impian mereka untuk menyerlah di Rio, tidak kesampaian.

welsonsim

5. Renang

Renang sememangnya dari awal tidak pernah diletakkan sebarang harapan. Mereka hanya disasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam penyertaan mereka. Penyertaan tiga perenang negara, Welson Sim, Heidi Gan dan Phee Jen En hanyalah menjadi pelengkap acara. Agak menyedihkan, hanya Welson Sim sahaja yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan dimana kesemua perenang negara kecundang diawal pusingan kelayakan.

13hmzaiddd_1468378404

6. Olahraga

Olahraga pula, dua atlet Malaysia beraksi iaitu Nauraj Singh dalam acara lompat tinggi dan Zaidatul Husniah dalam acara 100 meter wanita. Nyata sekali pentas olimpik terlali besar buat mereka apabila mereka sudah tersingkir sejak peringkat saringan lagi. Namun pujian harus diberikan kepada Zaidatul Husniah kerana tampil berani mencabar atlet dunia walaupun menyedari, aspek fizikalnya jauh ketinggalan berbanding saingannya.

download (19)

7. Angkat Berat

Menampilkan atlet kelahiran Terengganu, Mohd Hafifi Mansor menerusi acara 69 kilogram lelaki, Hafifi selaku jaguh Komanwel berjaya memecahkan rekod kebangsaan. Dengan mengangkat bebanan 315 kilogram, sudah cukup untuk memperbaharui rekod kebangsaan yang juga miliknya sendiri. Cuma saingan badang=badang antarabangsa telah meletakkan catatan Hafifi ini ditangga ke 13 secara keseluruhan di Rio.

Beliau mempunyai masa depan yang cukup cerah pada masa hadapan. Beliua telah menguasai peringat Asia Tenggara dan Komanwel dan tidak mustahil, berkat kegigihan serta keazamannya, beliau pasti memperagakan aksi hebatnya nanti di Tokyo. Cuma apa yang perlu beliau lakukan, memperbaharui teknik angkatan dan memperkemaskan lagi latihan intensif beliau untuk persediaan akan datang.

download (20)

8. Lumba Basikal

Menampilkan penyertaan ketiga dua anak jati Terengganu, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa, yang masing-masing mengambil acara keirin dan pecut, nyata ianya bolehlah dianggap berbaloi. Azizulhasni menepati statusnya sebagai antara pelumba keirin terbaik dunia apabila berjaya meraih gangsa. Manakala Fatehah pula terkandas di pusingan kelayakan dengan menduduki tangga ke 21 dengan catatan 11.20 saat.

Walaupun diselubungi kontroversi apabila Azizul secara lantang mengkritik kerajaan negeri Terengganu atas dakwaannya tidak memenuhi hasratnya untuk mendapatkan sebuah basikal “roadbike”, setidak-tidaknya, beliau berjaya memperbaiki pencapaiannya di Beijing 9 (tempat ke 8) dan London (tempat ke 6). Dalam satu temubual, beliau menyasarkan untuk meraih emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.

download (21)

9. Terjun

Sandaran pastinya diletakkan kepada ratu terjun negara, Pandelela Rinong untuk memperbaiki catatannya di Olimpik London. Beliau membuka langkah kanan buat skuad terjun negara apabila meraih pingat perak menerusi acara 3 meter papan anjal seirama dengan berpasangan dengan Cheong Jun Hoong. Namun, dalam acara kegemarannya, 10 meter platform wanita, beliau gagal menyerlah apabila mengalami kecederaan pinggang dan bahu kiri.

Bagi Nur Dhabitah Sabri, penyertaan pertamanya dalam sukan olimpik, telah berjaya menarik perhatian ramai pihak. Mengambil bahagian dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita bersama-sama Ng Yan Yee dan 10 meter platform wanita, beliau mampu untuk mencatatkan mata yang baik dan ini menjadikan beliau sebagai antara atlet pelapis negara yang akan membawa cabaran Malaysia di sukan olimpik di Tokyo kelak.

Mungkin olimpik Rio bakal menjadi mimpi ngeri buat Ahmad Amsyar Azman apabila kesilapan teknik terjunannya dalam pusingan terakhir acara 3 meter papan anjal lelaki peringkat saringan menyebabkan beliau gagal mara ke peringkat seterusnya. Namun, jika dinilai dari 4 terjenuannya sebelum itu, masa depan Amsyar agak cerah. Cuma apa yang perlu dilakukan, memperbaiki teknik terjunan dan mengelakkan kesilapan yang sama di Rio berulang.

Bagi Ooi Tze Liang, kegagalan beliau untuk mara ke peringkat akhir 10 meter platform lelaki, agak luar jangkaan. Beliau diramal mampu mara keperingkat akhir namun catatan yang dilakukan, 379.50 mata telah meletakkan beliau ditangga 22 daripada 28 peserta yang bersaing pada peringkat separuh akhir.

images (9)

10. Badminton

Sejak penyertaan Malaysia dalam sukan Olimpik, badminton adalah satu-satunya acara yang disandarkan Malaysia untuk meraih pingat dan mungkin pingat emas. Sekali lagi, Datuk Lee Chong Wei diletakkan harapan untuk meraih pingat emas dalam acara ini. Namun, kekebalan tembok China masih belum mampu diatasi oleh beliau apabila tewas ditangan Chen Long pada perlawanan akhir.

Sebelum itu, beliau mampu menundukkan seteru sepanjang zaman beliau, Lin Dan di peringkat Separuh Akhir sehingga ianya dianggap sebagai penamat sempurna buat Chong Wei di pentas olimpik. Nyata sekali, kudrat beliau tidak mampu untuk melemahkan Chen Long walaupun beliau mampu untuk memberikan saingan sehingga menyaksikan beliau tewas 18-21 dan 18-21.

Kem badminton negara juga sebenarnya berjaya mengatasi segala ramalan. Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying dan pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong menampilkan aksi bertaraf dunia apabila mara keperlawanan akhir. Nyata pengalaman mereka masih cetek untuk menjinakkan pasangan Indonesia dan China di pentas akhir.

Agak mendukacitakan apabila penyertaan Tee Jing Yee tersekat apabila mengalami kecederaan buku lali manakala saingan Vivian Hoo dan Woon Khe Wei tersekat di peringkat suku akhir.

Chong Wei pastinya tidak lagi akan mengibarkan bendera Malaysia di Tokyo, 4 tahun lagi. Timbul persoalan, adakah aksi yang dipamerkan oleh anak muda Malaysia di Rio ini dapat dikekalkan sehinggan ke olimpik Tokyo kelak? Selepas Malaysia kehilangan kelibat Chong Wei, siapa yang akan menggalas cabaran perseorangan negara?

Lebih utama, adakah Malaysia harus terus kempunan untuk meraih emas pertama olimpik setelah Chong Wei gagal mendapatkannya dalam 3 percubaan? Persiapan harus dilakukan sekarang bagi memastikan harapan negara meraih emas di Tokyo tercapai.

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*