Perletakan Jawatan Husni Tiada Kaitan Dengan 1MDB

Share This:

ROMBAKAN kabinet baru-baru ini mengundang spekulasi liar di kalangan pembangkang dan penganalisis politik tanahair ekoran perletakan jawatan Dato’ Seri Husni Hanadzlah, sebagai Menteri Kewangan II atas sebab-sebab peribadi.

Selain daripada itu juga, beliau turut meletakkan jawatan sebagai Bendahari UMNO Malaysia, Bendahari Agung Barisan Nasional, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak, Ketua UMNO Bahagian Tambun dan Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Tambun.

Pembangkang dilihat sedaya upaya cuba memutarbelitkan isu tersebut. Malahan, Ahli parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar membuat tuduhan tidak berasas terhadap perletakkan jawatan Datuk Seri Husni Hanadzlah sebagai Menteri Kewangan II dengan mengaitkannya dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Namun mereka kecewa sekali lagi apabila mengetahui bahawa perletakan jawatan Husni langsung tiada kaitan dengan 1MDB.

Beliau dilahirkan pada 21 Julai 1952. Ini bermakna 21 Julai ini beliau sudah berumur 64 tahun. Memandangkan faktor usia maka beliau telah menyatakan bahawa beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang. Sekiranya beliau bertanding maka umur persaraan beliau akan menjadi 71 tahun sekiranya kita andaikan PRU14 pada 2018.

Masyarakat tidak seharusnya melemparkan tuduhan tidak berasas dan perlu menghormati keputusan yang dibuat Husni. Menurut setiausaha politik beliau, Datuk Shamsul Zairil Kamaruddin, Husni turut melepaskan semua jawatan dalam Umno dan BN, tetapi kekal Ahli Parlimen Tambun yang diterajuinya sejak 1995.

Dalam rombakan kabinet yang diumumkan PM, empat menteri terlibat dalam rombakan iaitu Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua, Abdul Rahman Dahlan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada Unit Perancang Ekonomi (mengisi tempat Abdul Wahid Omar), Noh Omar dibawa kembali menyertai kabinet memegang jawatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Mah Siew Keong sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno,Tan Sri Annuar Musa meminta supaya semua pihak bertenang dan tidak membuat spekulasi.

Dakwaan yang mengatakan Husni digugurkan daripada kabinet adalah tidak benar kerana keputusan tersebut dibuat oleh sendiri atas sebab peribadi, katanya.

“Bagi saya tidak timbul soal digugurkan atau tidak daripada kabinet dan mengenali Husni, beliau seorang yang jujur dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas serta amanah diberikan,” katanya.

Dalam perkara ini, semua pihak perlu memberi ruang dan peluang kepada Husni untuk menjelaskan kedudukan perkara yang sebenarnya. Kami percaya, apabila beliau sudah bersedia maka beliau akan tampil ke depan untuk menjernihkan kekeruhan ini.

  • PRU14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*