Pemimpin BN Sarawak Terima Keputusan Rombakan Kabinet Diumumkan Najib

Share This:

Barisan Nasional (BN) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menerima dan menghormati keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak melantik Ahli Parlimen dari Sarawak menjadi Menteri Penuh dalam rombakan yang diumumkan semalam.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Stephen Rundi Utom yang juga Setiausaha Agung PBB berkata parti komponen BN ada membentangkan kes mereka, iaitu mencadangkan Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Linggi yang mewakili parti itu dilantik mengisi slot yang dikosongkan oleh Datuk Amar Douglas Unggah.

“Tetapi Sarawak mengakui pelantikan menteri adalah prerogatif perdana menteri. Beliau telah menjelaskan rasional rombakan kabinetnya dan kami menghormati keputusan beliau dan berdiri teguh di belakang kepimpinannya.

“Adalah menjadi harapan besar kami, beliau akan memasukkan kami dalam rombakan besar beliau pada masa akan datang dan mengucapkan terima kasih kerana melantik Datuk Henry Sum Agong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,” katanya memetik laporan BERNAMA.

Najib yang juga Pengerusi BN semalam membuat pengumuman mengenai rombakan itu di Putrajaya melibatkan beberapa perubahan dalam barisan kabinet.

Banyak pihak ini mula melakukan spekulasi dan andaian kesan dari rombakan berkenaan yang diumumkan beberapa hari sahaja selepas bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat dari UMNO.

Ada juga pihak yang membuat andaian, rombakan kabinet dibuat bagi mengalihkan fokus rakyat dari membincangkan tindakan memecat Muhyiddin sebaliknya lebih menumpukan perhatian pada rombakan kabinet.

Hari ini semua anggota Kabinet baru yang dilantik mengangat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dalam satu istiadat di Istana Negara.

Kebanyakan pemimpin BN menerima dan menyambut baik rombakan kabinet yang baru biarpun ada perkara yang mengejutkan iaitu Menteri Kewangan Ke-2 Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang bertindak meletak jawatan dan mengundurkan diri dari Kabinet dan parti.

PRU14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*