#PRKKualaKangsar : Tajudin Yakin BN Menang Selesa

Share This:

Barisan Nasional (BN) dijangka mencapai kemenangan selesa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, ia akan dicapai berikutan usaha berterusan yang dilakukan oleh jentera BN dan parti komponennya.

Kita akan mencapai kemenangan hasil daripada survey (kaji selidik) yang telah dilakukan oleh wanita UMNO, MCA Gerakan dan MIC yang membuat kaji sikap terhadap pengundi di sini.

Saya rasa kemenangan yang kita capai adalah selesa dan kemungkinan lebih daripada majoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu insyaAllah, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ihya Ramadan, Gotong Royong Memasak Bubur Lambuk dan Berbuka Puasa bersama Persatuan Kebajikan Masyarakat India Muslim (PERKIM) Kuala Kangsar di sini Selasa.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berbentuk hamper barangan makanan kepada 180 ahli PERKIM yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, OKU, fakir miskin dan mualaf.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata, jentera BN turut melakukan gerak kerja dengan begitu baik bagi memastikan kemenangan parti itu pada PRK kali ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai Parti Amanah Negara (Amanah) yang sentiasa mengulangi isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion, beliau berkata, parti itu tidak mempunyai modal lain untuk berkempen pada pilihan raya tersebut.

Jelasnya, tindakan Amanah itu hanya semata-mata mahu mengelirukan pengundi di Parlimen Kuala Kangsar dengan mengitar semula isu-isu lama.

Mereka tak ada modal, jadi akan kitar semula cerita-cerita lama yang mana telah dijawab pun 1MDB dah dijawab, dan RM2.6 bilion daripada kerajaan Arab kepada Perdana Menteri telah dijawab.

Jadi tak ada isu dan ia juga telah dibuktikan tidak menimbulkan perkara yang menyalahi undang-undang.

Ianya digembar-gemburkan sekali lagi cuma untuk mengelirukan orang ramai termasuk pengundi dengan harapan mereka ini dapat percaya dengan hal tersebut, ujarnya lagi.

— BERNAMA

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*