Fakir Miskin Dapat Perhatian Sultan Mizan Sempena Aidilfitri

Share This:

Sultan Mizan berkenan menyampaikan bantuan untuk fakir miskin di Istana Syarqiyyah Kuala Terengganu, hari ini. Foto Oleh: Tengku Syamim Tengku Ismail
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat dan menyampaikan bantuan untuk fakir miskin dan pelajar kurang berkemampuan sempena Hari Raya Aidilfitri di Istana Syarqiyyah Kuala Terengganu, hari ini.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke Majlis Pengurniaan Bantuan kepada 460 fakir miskin dan pelajar sekolah anjuran Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) itu.

Dalam majlis tersebut, seramai 200 fakir miskin dari seluruh daerah menerima wang tunai RM300 dan hamper yang mengandungi barangan asas harian.

Pada tahun ini, buat julung kalinya 20 pengusaha bot penambang dan 30 penarik beca dipilih untuk menerima bantuan serupa.

Bantuan turut dikurniakan kepada seramai 210 pelajar miskin daripada tujuh sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam dan Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga (Kuala Terengganu); SK Sungai Pergam (Kemaman); SK Sungai Berua (Hulu Terengganu); SK Kampung Shukur (Dungun); SK Pendidikan Khas (Besut) dan SK Rhu Sepuluh (Setiu).

Manakala, tiga madrasah iaitu Ma’ahad Tahfiz Al –Quran Al-Azahar dan Maahad Tahfiz Al-Busyra dari Kuala Terengganu serta Madrasatul Quran Al Hasanah Lil Banaat di Marang turut di­pilih menerima bantuan tersebut dengan setiap pelajar menerima duit raya sebanyak RM200 seorang.

Turut hadir, Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, Halina Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda dan isteri To’ Puan Aizan Ngah serta Pengerusi Majlis Pengurniaan Bantuan tersebut merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Mohd Fadzli Yusof dan isteri To’ Puan Sabariah Syed Mohd. Yusof.

Dalam pada itu, Mohd Fadzli berkata, sebanyak RM175,000 diperuntukkan bagi majlis berkenaan.

Katanya, usaha YDSM itu mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Sekretariat Pesona Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

“YDSM juga mendapat sokongan dan sumbangan menggalakkan daripada badan-badan korporat dan individu dalam menjayakan bantuan ini,” ujarnya.

– Teganu Kita

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*