#PRKSgBesar : Esok Bakal Terjawab Berapa Penjuru Pertembungan Antara Parti

Share This:

Esok bakal terjawab berapa penjuru sebenarnya pertembungan antara parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor apabila hari penamaan calon berlangsung di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar.

Lokasi itu turut dipilih untuk menjadi pusat penjumlahan rasmi undi PRK berkenaan. Individu yang bakal menjadi tumpuan esok ialah Pegawai Daerah Sabak Bernam Mohd Khairuddin Md Som yang dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Jika dilihat berdasarkan pengumuman calon oleh parti politik, setakat ini ada tiga calon sudah diumumkan untuk bertanding pada PRK berkenaan.

Mereka ialah calon Barisan Nasional (BN) Budiman Mohd Zohdi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Calon dari PAS Dr Abdul Rani Osman yang juga ADUN Meru dan Calon Amanah Azhar Abdul Shukur yang juga Pengerusi Amanah Sungai Besar.

Ada khabar angin mengatakan PRK itu akan turut disertai oleh calon Bebas namun ia masih menjadi tanda tanya dan hanya spekulasi sehingga hari ini sehingga segala-galanya terjawab pagi esok.

Secara faktanya menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar dengan 42,365 pengundi biasa, 286 pengundi awal dan empat pemilih tidak hadir kerana berada di luar negara.

PRK Sungai Besar diadakan ekoran kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam nahas helikopter di Sebuyau, 5 Mei lalu.

Dalam nahas itu, suami Noriah, Asmuni Abdullah turut terkorban.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, Noriah berjaya menang kerusi Parlimen itu menewaskan calon PAS Mohamad Salleh M Hussin dengan majoriti tipis 399 undi.

Hari mengundi awal bagi PRK Sungai Besar ialah pada 14 Jun manakala hari mengundi biasa ditetapkan pihak SPR pada 18 Jun depan iaitu di dalam bulan Ramadan.

Ini bukan kali pertama pilihan raya diadakan dalam bulan puasa kerana sebelum ini PRK Kuala Besut diadakan pada 24 Julai 2013.

PRK Sungai Besar menjadi tumpuan dan dijangka sengit kerana kemenangan BN yang tipis pada PRU sebelum ini.

PRU14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*