Serpihan Pesawat Ditemui Di Mozambique Sudah Dalam Pengawasan Pihak Malaysia

Share This:

Pihak berkuasa Malaysia telah memperolehi objek yang dikatakan serpihan pesawat Boeing jenis 777 penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac, dua tahun lalu yang ditemui di Mozambique minggu lepas.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ia akan diuji dan disahkan sama ada ia adalah sebahagian dari pesawat berkenaan atau sebaliknya.

“Kami akan mengesahkan serpihan itu secepat mungkin. Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia untuk mengenal pasti objek tersebut,” kata Liow kepada pemberita semasa ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ini ada satu lagi objek dengan kemungkinan sama ditemui pula di Perancis di Pulau Reunion dua hari lepas.

“Kami sedang menunggu seorang hakim di Perancis untuk membuat keputusan sama ada serpihan itu boleh diserahkan kepada Malaysia atau harus berada di Perancis.

“Serpihan pesawat itu ditemui di Perancis, dan kita kena mengikut undang-undang negara itu,” katanya sambil menambah, keputusan itu akan dibuat dalam masa dua hari lagi.

Khamis lepas, Johnny Begue, individu sama yang menjumpai komponen ‘flaperon’ yang disahkan dari pesawat MH370 pada Julai tahun lalu, menjumpai serpihan kedua di Pulau Reunion.

Menurut Begue, dia sedang berjoging di pesisiran pantai apabila ternampak sebuah objek kecil bersaiz 40 sentimeter x 20 sentimeter.

Katanya, objek berkenaan mempunyai tanda berwarna biru di bahagian permukaan serta berwarna kelabu di bahagian bawahnya.

Begue menjumpai objek berkenaan beberapa hari selepas penemuan satu lagi serpihan dipercayai daripada pesawat MH370 di Mozambique oleh seorang lelaki warga Amerika Syarikat, Blaine Gibson.

Gibson dilapor menjumpai objek itu ketika berjalan di kawasan pantai berdekatan Vilankulo, Pulau Benguerra (sebahagian daripada kepulauan Bazaruto).

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal apabila ia hilang daripada skri radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 2014.

– PRU14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*