DAP Dan PKR Akan Adakan Mesyuarat Tergempar Di Parlimen

Share This:

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Parti DAP dan PKR dikhabarkan akan mengadakan satu mesyuarat tergempar di Parlimen untuk melihat tahap keyakinan orang ramai ke atas pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengeluarkan jemputan kepada Ahli Parlimen dari pelbagai parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk hadir menyertai mesyuarat berkenaan yang akan diadakan esok.

Perbincangan di mesyuarat itu akan memikirkan tindakan seterusnya berkaitan berita Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa ada wang milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah disalurkan ke dalam akaun peribadi yang dikatakan milik Najib.

BACA – Ahli PAC Dari PKR Pun Tak Percaya Laporan Wall Street Journal 

“Nampaknya ada beberapa asas kepada dakwaan serius dalam WSJ, kini Peguam Negara mengesahkan telah melihat dokumen tersebut dan pihak berkuasa menyerbu tiga buah syarikat,” kata Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang merupakan wakil rakyat Permatang Pauh berkata, biarpun siasatan agensi kerajaan ke atas isu 1MDB masih belum lengkap, orang ramai perlu bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula mencadangkan agar mesyuarat berkenaan diadakan pada Sabtu nanti.

Semalam di Semenyih, Najib ketika menghadiri satu majlis berkata beliau selaku pemimpin yang dipilih oleh rakyat tidak akan sesekali mengkhianati rakyat dan harta benda negara ini.

Beliau juga memberikan jaminan, kerajaan tidak akan membenarkan anasir luar untuk sesuka hati menggugat dan menjatuhkan kepimpinan dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang diundi oleh rakyat.

“Ini merupakan janji saya,” katanya dalam ucapan di majlis Iftar Rakyat Negeri Selangor Bersama Perdana Menteri di Masjid Bandar Rinching, Semenyih.

Najib berkata beliau kini menjadi mangsa serangan bertubi-tubi sejak akhir-akhir ini termasuk menuduh dirinya ‘songlap’ sejumlah wang ke dalam akaun peribadinya.

“Sehari dua ini, mereka telah membawa macam-macam berita. Saya telah menjadi mangsa kepada serangan mereka secara bertubi-tubi kononnya saya songlap duit yang besar.

“Saya berterima kasih kerana ramai juga menyatakan bahawa mereka tidak percaya (songlap duit),” katanya.

– PRU14.tv

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*