Pelancaran Jentera Puteri UMNO Pahang Gegarkan Rompin

Share This:

ROMPIN, 22 April- Seramai 1,997 pengundi muda yang akan mengundi buat pertama kali akan dikenalpasti oleh jentera Puteri UMNO Pahang sebagai pendekatan utama bagi memastikan kemenangan terus menjadi milik BN dalam Plihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.

Ketuanya, Azlina Azma Mohd Azmi berkata pihaknya akan berusaha membawa pulang kesemua individu berkenaan untuk pastikan mereka membuang undi pada 5 Mei ini.

Ini termasuk sasaran pengundi muda (Puteri) berjumlah lebih 12,000 di parlimen berkenaan yang katanya mampu membantu BN memperoleh majoriti besar dengan bantuan pergerakan itu.

“Kami mensasarkan pengundi muda yang seramai lebih 12 ribu terutamanya pengundi yang pertama kali mengundi. Kita akan dekati pengundi muda.

“Kawasan Rompin besar dan pengundi ada yang tinggal diluar bandar, jadi kami mengambil inisiatif untuk bergerak ke setiap PDM (Pusat Daerah Mengundi) dengan bantuan Puteri di PDM tertentu,” katanya.

Jelas Azlina yang juga EXCO Pergerakan Puteri Malaysia berkata, beliau akan mengerah keringat setiap jenteranya sehabis mungkin untuk bergerak ke setiap kawasan di Rompin bagi memastikan tiada individu yang tercicir untuk mengundi.

Ini kerana katanya jentera Puteri akan mengambil pendekatan kempen turun padang bagi berjumpa dengan setiap pengundi secara berkumpulan.

“Di Rompin, kami mempunyai 56 cawangan puteri, jadi kami akan gunakan sebaik mungkin selain dibantu oleh pergerakan Puteri Pahang yang mempunyai 200 jentera.

“Kami tidak mahu buat program yang besar yang menyusahkan mereka untuk turut jadi kami akan turun ke rumah mereka untuk beri penerangan. Biar kita yang dekat dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Operasi PRK Parlimen Rompin, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jentera Puteri yang dimiliki kini merupakan tulang belakang untuk membantu BN meraih undi lebih 33,000 pengundi.

Katanya, kemenangan di Rompin akan dibawa ke Permatang Pauh sebagai pemangkin bagi calon BN di Permatang Pauh mengikut jejak langkah calon Rompin, Datuk Hasan Ariffin.

“Kita boleh jadikan Rompin sebagai contoh, semua jentera bersemangat dan bersedia untuk bertempur dan ini boleh menjanjikan kemenangan kepada BN seterusnya kita akan bawa kemenangan ini ke Permatang Pauh,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 500 ahli Puteri dalam pelancaran jentera pergerakan Puteri UMNO hari ini di sini.

puteri1

puteri2

puteri3

puteri4

puteri5

-Rakyatpost

Comments

comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*