Mayat Kekasih Dalam Tali Air

KOTA BHARU- Seorang wanita terkejut apabila kekasihnya seorang warga Nepal ditemui tertiarap dalam tali air selepas motosikal yang ditunggang lelaki itu terbabas di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini di percayai awal pagi semalam.

Mangsa yang enggan dikenali berkata, kali terakhir dia bertemu kekasihnya itu adalah pada malam kelmarin sebelum kejadian terbabit.

Menurut wanita itu, dia terkejut setelah dimaklumkan oleh polis mengenai kejadian berkenaan dan bergegas ke bilik mayat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian tengah hari semalam, untuk membuat pengecaman mayat mangsa
bersama majikan kekasihnya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan menerima laporan  kejadian dan menurutnya, mangsa yang dikenali sebagai Govind Tharu, 28, merupakan pekerja sebuah kilang di daerah ini.

“Semasa mayat mangsa ditemui kira-kira jam 10.15 pagi tadi, keadaannya tertiarap di samping turut menemui sebuah motosikal dalam tali air terbabit. Hasil siasatan yang dilakukan, kita tidak menemui sebarang identiti pengenalan diri mangsa dan tiada
saksi bebas yang melihat kejadian,” katanya.

Rohaimi berkata, hanya ditemui sebuah telefon bimbit dalam lumpur berhampiran mayat mangsa dan pihaknya berjaya hubungi kekasih mangsa untuk memaklumkan mengenai kematiannya dan membuat pengecaman mayat.

“Mayat disahkan majikan mangsa kira-kira jam 1 petang dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *