Costa Berdepan Tuduhan Gantung Tiga Perlawanan

Share This:

LONDON: Penyerang Chelsea, Diego Costa berdepan kemungkinan digantung tiga perlawanan selepas dituduh melakukan tindakan ganas memijak pemain Liverpool, Emre Can, umum FA Inggeris.

Costa dilihat seakan-akan sengaja memijak buku lali Can ketika permainan memasuki minit ke-12 permainan separuh akhir kedua Piala Liga di Stamford Bridge, semalam yang berakhir dengan kemenangan 1-0 Chelsea.

Chelsea mara ke final dengan keputusan agregat 2-1 untuk bertemu Tottenham Hotspurs di final.

Insiden yang berlaku begitupun tidak dilihat pegawai perlawanan namun dilihat semula menerusi panel video, semalam.

“Diego Costa didakwa oleh FA kerana kelakuan ganas atas insiden di atas padang yang tidak dapat dilihat oleh pegawai perlawanan namun dirakam oleh video,” kata FA dalam kenyataan dikeluarkan dalam laman webnya.

“Tuduhan itu berkaitan dengan insiden membabitkan penyerang Chelsea itu dan pemain Liverpool, Emre Can yang berlaku pada minit ke-12 perlawanan separuh akhir kedua Piala Liga di Stamford Bridge malam lepas (semalam).

“Berikutan insiden ketika permainan yang membabitkan Costa dan pemain Liverpool, Martin Skrtel, FA tidak akan mengambil sebarang tindakan.”

Costa memiliki masa sehingga 6.00 petang ini untuk membalas tuduhan itu.

Seandainya didapati bersalah, penyerang Sepanyol itu akan terlepas perlawanan Chelsea di laman sendiri bertemu Manchester City, esok selain pertemuan menentang Aston Villa dan Everton.

Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers menyifatkan tindakan penyerang kelahiran Brazil itu sebagai ‘buruk’ dan mampu menghasilkan kecederaan yang teruk.

Begitupun, rakan sejawatannya di Chelsea, Jose Mourinho berkata dua insiden itu ‘jelas tidak sengaja’ dan menyalahkan pengkritik televisyen kerana memperbesarkan kontroversi itu. – AFP

Comments

comments

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*