UPSR : Polis Ambil Keterangan Enam LPM Dan Seorang Wartawan

KUALA LUMPUR, 13 Sept — Polis mengambil keterangan enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan seorang wartawan bagi membantu siasatan berhubung kes kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Gan Kong Meng hari ini berkata polis sedang mengumpul keterangan dari pelbagai pihak bagi mengenal pasti dalang di sebalik kejadian itu.

“Setakat ini tujuh rakaman percakapan diambil dari kesemua tujuh individu berkenaan untuk membantu siasatan. Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini,” katanya kepada Bernama.

Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid menduduki peperiksaan tersebut pada Khamis manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan sebelum pelajar menduduki peperiksaan tersebut pada Khamis juga.

LPM menetapkan 30 Sept sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah LPM Dr Na’imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan itu selesai.

Di Johor Baharu Persatuan Pemuda Puteri Melayu Bersatu (PERIMAU) membuat laporan polis berhubung kebocoran soalan dua kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.

Laporan dibuat Pengerusi PERIMAU Mohd Ridhwan Othman di Balai Polis Dato’ Onn di sini.

Turut hadir Pengerusi Biro Pelajaran dan Agama Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang Roszaidi Ramlee dan Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Kampung Maju Jaya Mad Johan Jamian.

Mohd Ridhwan berkata PERIMAU berharap polis dan agensi yang terlibat melakukan siasatan terperinci agar dalang disebalik kejadian ini dapat dibawa ke muka pengadilan.

Katanya laporan itu dibuat bagi mewakili suara komuniti guru, ibu bapa dan pelajar UPSR yang mahu menzahirkan rasa kecewa dan marah terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab dan telah memalukan negara.

Dalam masa yang sama, Mohd Ridhwan berkata persatuan turut memberi sokongan yang padu kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani isu itu.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *