Pemabuk Pecah Cermin Kereta dan Cabar Bertumbuk Ditahan

KUCHING: Berani kerana mabuk, seorang lelaki mengamuk di sebuah rumah di Kampung Tabuan Lalang di sini gara-gara gagal mengawal perasaan marahnya selepas minum arak, awal pagi semalam.

Terdahulu, menurut sumber, suspek berusia 19 tahun itu bersama beberapa rakannya melepak sebelum dia dikatakan berang dan mencabar kesemua rakannya beradu kekuatan dalam kejadian sekitar jam 3 pagi.

Rakan-rakan mangsa yang ketakutan apabila melihat tindakan suspek bagaimanapun terus berlari pulang ke rumah masing-masing.

“Suspek yang dipercayai mabuk kemudian pergi ke sebuah rumah tidak jauh dari situ sebelum dia bertindak memecahkan cermin kereta selain turut merosakkan barang-barang di luar rumah berkenaan.

“Pemilik rumah tersebut kemudian berjaya menenangkan suspek dan menahannya sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata sumber.

Suspek yang berasal dari Baram itu kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan sebelum ditahan untuk membantu siasatan polis.

Laporan berhubung kejadian juga telah dibuat oleh pemilik rumah berkenaan di balai polis berhampiran.

-Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *